Umie Aida Terasa Sunyi, Rancang Mahu Ambil Anak Angkat

Terasa sayu pula bila kami tahu mengenai apa yang tersimpan di dalam hati Datin Paduka Umie Aida yang dikongsikannya bersama majalah Media Hiburan baru-baru ini. Malah Umie juga mengakui, mencecah umur 41 tahun, dirinya terasa sunyi kerana dua anaknya yang sudah membesar dan punya kehidupan sendiri.
“Saya terlalu sukakan budak-budak tetapi inilah dugaan untuk saya. Allah tidak memberikan saya zuriat dan kami masih belum ada rezeki untuk itu. Lagipun doktor beritahu saya ada penyakit dan peluang untuk mengandung itu agak sukar”
“Alhamdulillah saya reda dengan ujian ini dan mungkin Allah ingin menguji untuk melihat sejauh mana kesabaran saya. Saya juga tidak tertekan memikirkan tentangnya,” ujarnya sambil merancang untuk mengambil seorang anak angkat jika suami mengizinkannya dalam masa terdekat ini bagi mengubat kerinduannya.
“Saya ada dua anak tetapi anak-anak saya sudah dewasa. Mereka sudah ada kehidupan sendiri dan kadangkala saya sunyi. Suami pula sibuk bekerja. Saya sedang memujuk suami untuk mengambil seorang anak angkat dan jika dia izinkan, insyaAllah semua akan menjadi kenyataan. Itu pun jika mendapat keizinannya.
“Lebih kurang dua atau tiga tahun lalu, saya pernah menjaga seorang kanak-kanak lebih kurang seminggu. Tetapi kerana kurang mendapat kebenaran dari suami, saya batalkan niat itu. Disebabkan terlalu sukakan budak-budak, saya rapat dengan anak-anak buah,” ujar Umie yang kerap berkunjung ke rumah kebajikan atau menghabiskan masa bersama anak-anak yang memerlukan jika punya kesempatan.
Kepada Umie, bersabarlah dengan ujian daripada Tuhan ketika ini. Kami yakin ibu-ibu yang menghadapi dugaan yang sama di luar sana, pasti faham apa yang sedang dilalui oleh pelakon ini. Ketika Umie Aida datang melawat Almy Nadia baru-baru ini, bagaimana ya agaknya perasaan dia? (rtky/syfq)

0 Response to "Umie Aida Terasa Sunyi, Rancang Mahu Ambil Anak Angkat"

Post a Comment