Seram, 'Warung Bunian' Yang Misteri Di Kajang?
Ketika itu pelbagai persoalan bermain di fikiran, apatah lagi memikirkan perkara bukan-bukan yang dikaitkan dengan alam jin dan bunian. Seram, 'Warung Bunian' Yang Misteri di Kajang.. Cerita lengkap di sini
Lokasinya jauh tersorok dalam kawasan kampung, malah bagi mereka yang pertama kali berkunjung pastinya diselubungi pelbagai perasaan antara bimbang dan curiga untuk meneruskan ke destinasi memandangkan perjalanan melalui laluan sempit dan sunyi.
Lebih menyeramkan, hanya semak- samun menghiasi kiri dan kanan jalan selain kabus yang membentang sepanjang perjalanan serta persekitaran berbukit-bukau dan hutan.
Dari jauh, hanya kelihatan bumbung rumah penduduk kampung yang terpencil dari jalan utama menuju ke Putrajaya.
Sebaik aplikasi Waze memberitahu tiba di lokasi yang dituju, saya dan jurugambar agak terpinga-pinga kerana tiada satu pun warung atau kedai makan kelihatan di situ.
Ketika itu pelbagai persoalan bermain di fikiran, apatah lagi memikirkan perkara bukan-bukan yang dikaitkan dengan alam jin dan bunian.
“Betul ke lokasi yang diberikan, entah-entah memang warung ini wujud di alam bunian sama seperti namanya yang digembar-gemburkan dalam Internet,” detik hati kecil saya sambil memandang ke arah jurugambar, Surianie Mohd Hanif.
Bagaimanapun, perasaan yang berkecamuk itu hilang apabila tiba di satu persimpangan, terdapat beberapa kereta diletak di sepanjang jalan, bukti lokasi itu memang menjadi tumpuan orang ramai.
Selang dua minit kemudian, kelihatan sekumpulan lelaki dan wanita berpakaian korporat berjalan dari kawasan bukit ke arah wartawan dan jurugambar berdiri di tepi jalan.
Mungkin itu lokasi warung dicari yang terletak di sebalik bukit, malah dari jauh hanya kelihatan bahagian bumbungnya yang agak tersorok.
Ketibaan saya dan jurugambar jam 8.30 pagi disambut pemilik warung berkenaan Juliza Adnan, 24 yang mempersilakan kami duduk sementara dia sibuk melayan pelanggan yang memenuhi premis itu untuk bersarapan.
‘Warung Bunian’ adalah nama gelaran yang diberikan pelanggan kepada Warung Tapak Sulaiman yang sudah lebih 10 tahun beroperasi dengan menyediakan menu kampung berkonsepkan hidang.
Menurut Juliza atau lebih dikenali sebagai Alang, nama Warung Bunian itu mendapat nama kerana lokasinya yang terpencil dan terletak di sebalik bukit dan dalam gaung.
“Dulu ada juga pelanggan yang panggil warung gaung kerana terletak di bawah pokok besar manakala lokasi sekitar diliputi hutan dan semak-samun.
“Malah, sebelum ini, hanya keluarga kami yang menetap di kawasan berkenaan menjadikan seolah-olah lokasi ‘bunian’ sebelum pemilik tanah membina rumah di atas tanah masing-masing dua tahun lalu.
“Nama Warung Bunian lebih komersial dan cukup dikenali oleh pelanggan di sekitar kawasan ini termasuk dari Putrajaya, Dengkil dan Bangi,” katanya.
Menurutnya, konsep warung itu menggunakan makan hidang dan menariknya, semua pelanggan akan menikmati menu yang sama dengan bayaran RM15 seorang pada hari Isnin hingga Khamis manakala RM20 pada hari Sabtu.
“Jika menunya masakan kampung iaitu masak lemak cili api udang atau ketam bersama ayam goreng atau ikan masak kicap, sayur dan sambal belacan, itulah yang akan dihidang kepada pelanggan.
“Namun, pelanggan perlu membuat tempahan sehari sebelum datang menjamu selera di sini bagi memudahkan kami memasak kuantiti makanan yang diperlukan manakala pelanggan yang ‘walk-in’ perlu datang seawal jam 11 pagi,” katanya.
Katanya, warungnya boleh memuatkan sehingga 120 orang dalam satu-satu masa.
Katanya, waktu operasi warung berkenaan ialah setiap hari Isnin hingga Khamis bermula jam 7 hingga 11 pagi bagi sarapan dan 12 hingga 2.30 petang bagi makan tengah hari.
Pada hari Jumaat dan Ahad dan cuti umum, hanya menu sarapan disediakan.
“Untuk sarapan kami menyediakan menu nasi lemak telur bungkus, roti canai dan roti jiwa kacau yang diolah daripada resepi warisan ibu saya, Rokiah Sulaiman.
“Setiap hari kami akan masak 15 kilogram beras untuk nasi lemak tidak termasuk tempahan yang dibuat lebih awal oleh pelanggan,” katanya yang bangun seawal jam 4 pagi untuk menyiapkan tempahan pelanggan.
Sumber : Metro
0 Response to "Seram, 'Warung Bunian' Yang Misteri Di Kajang?"
Post a Comment