Zulkifly Samad, 50, dipercayai tersasar ke kawasan kejadian persimpangan Jalan 204/223 yang menempatkan perkhemahan jemaah haji negara-negara Arab.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kehilangan tersebut dilaporkan oleh isteri mangsa, Suria Hanim Abdul Hamid kepada Tabung Haji pada pukul 11 malam pada hari kejadian setelah suaminya tidak pulang .

‘‘Dalam laporan tersebut, Suria Hanim mengakui, Zulkifly tidak bersama jemaah Tabung Haji dari Muzdalifah kerana mahu berjalan kaki ke Mina mengikut sunnah Rasulullah SAW.



VIDEO KLIK SINI
‘‘Panggilan terakhir Suria Hanim kepada suaminya ialah pada pukul 7.15 pagi 10 Zulhijjah dan Zulkifly beritahu dia sudah selamat tiba di Mina dengan jemaah haji dari negara lain,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Asyraf Wajdi, setelah menerima aduan tersebut, para petugas Tabung Haji mula mengesan Zulkifly di sekitar Kompleks Jamarat dan hospital berdekatan Mina.

Kata beliau, pada hari ini, kira-kira pukul 1.30 petang pasukan perubatan Tabung Haji telah membuat pemeriksaan di Rumah Mayat Muaissem dan telah menemukan satu jenazah rakyat Malaysia yang disahkan sebagai Zulkifly melalui beberapa pengenalan diri seperti gelang dan lencana pengenalan diri serta barangan peribadi.

Dalam kejadian Khamis lalu, lebih 700 jemaah haji terkorban dan 900 lagi tercedera dalam tragedi rempuhan di perkhemahan jemaah negara-negara Arab yang terletak kita-kira empat kilometer dari perkhemahan jemaah haji Asia Tenggara.

Zulkifly berasal dari Batu Pahat, Johor dan kini menetap di Taman Ukay Bistari dan bekerja sebagai konsultan teknologi maklumat.

Menurut Asyraf, Tabung Haji pada pemakluman awal mengesahkan tiada jemaah haji yang telibat dalam rempuhan tersebut berdasarkan pengesahan daripada waris dan maklumat awal dari penempatan jemaah haji.

‘‘Pihak Tabung Haji telah membuat semakan dan pengumuman melalui siaraya di khemah jemaah pada pukul 12.30 tengah hari sehingga 3 petang pada hari kejadian.

‘‘Tiada sebarang aduan daripada waris dan rakan sekhemah berkaitan dengan sebarang kehilangan jemaah,’’ kata beliau. – AL FATIHAH CREDIT UTUSAN