MALAYSIA LATIH ANGGOTA HAMAS DI PALESTIN?


MALAYSIA LATIH ANGGOTA HAMAS DI PALESTIN? | Israel sekali lagi menuduh Malaysia menjadi lokasi latihan bagi anggota Hamas di Palestin.

Agensi keselamatan Israel, Shin Bet dilaporkan mendakwa Hamas melatih pelajar Palestin dari Tebing Barat yang melanjutkan pelajaran di Malaysia untuk menjalankan operasi bagi sayap ketenteraan parti politik Palestin itu.

"Shin Bet memaklumkan pelajar yang dilatih di Malaysia akan digunakan untuk operasi pengintipan sebaik pulang ke Tebing Barat," menurut laporan akhbar harian tertua di Israel, Haaretz, semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang dihubungi semalam menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu.

“Kalau pun ada rakyat Palestin yang datang belajar di universiti tempatan seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), mereka datang sebagai pelajar warga Palestin untuk mengikuti pengajian biasa yang ditawarkan oleh mana-mana universiti di dunia,” katanya.

Beliau turut mengesahkan tiada mana-mana individu atau kumpulan yang memberi apa-apa bentuk latihan ketenteraan kepada anggota Hamas atau penuntut Palestin di Malaysia.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Negeri turut menafikan dakwaan itu.

"Laporan tersebut tidak benar," menurut Wisma Putra.

Ini adalah kali kedua Israel secara terbuka mengaitkan Malaysia sebagai lokasi latihan bagi anggota Hamas.

Tahun lalu, akhbar Israel menyiarkan maklumat soal siasat Shin Bet bersama seorang anggota Hamas di Gaza yang didakwa dilatih teknik luncur layar (paragliding) di Malaysia untuk menyusup ke dalam kawasan Israel bagi melakukan pembunuhan dan penculikan.

Dakwaan itu dinafikan kerajaan Malaysia sebelum ini.

Namun laporan Haaretz semalam menyebut, ini adalah kali pertama Shin Bet membuat dakwaan secara terperinci mengenai aktiviti Hamas di Malaysia.
Dakwa ramai orang kanan Hamas di Malaysia

Dakwaan terbaru itu dibuat di dalam kertas tuduhan yang difailkan pada 18 Mac lalu di Mahkamah Tentera Judea, Israel terhadap seorang penduduk di Hebron, Tebing Barat iaitu Waseem Qawasmeh, 24.

Waseem didakwa Israel atas tuduhan menyertai dan aktif dalam pertubuhan yang diharamkan, mengadakan hubungan dengan musuh dan menerima wang daripada musuh.

Dia ditahan pada 13 Februari lalu di Jambatan Allenby, iaitu laluan sempadan Jordan-Tebing Barat selepas pulang dari Malaysia.

Menurut Shin Bet, anggota Hamas di Malaysia secara aktif merekrut rakyat Palestin yang belajar di negara ini bagi tujuan latihan ketenteraan.

"(Hamas) turut mempersiapkan pelajar ini dari sudut ideologi dengan menyertai (gerakan Islam) Ikhwanul Muslimin dan badan kebajikan Palestin yang beroperasi di sana (Malaysia).

"Selepas latihan, mereka ini akan dihantar untuk menubuhkan jaringan ketenteraan di Tebing Barat, menjadi penyampai mesej antara Palestin dan negara luar serta menjalankan penyaluran dana secara sulit untuk memenuhi keperluan Hamas," menurut Shin Bet.

Dalam kertas pertuduhan itu, Shin Bet mendakwa Waseem memulakan hubungannya dengan Hamas melalui persatuan pelajar di sebuah universiti di Kuala Lumpur.

"Selama dua tahun, dia bekerja dengan pertubuhan kebajikan Hamas dan pada Disember 2013, dia direkrut oleh Mustafa Najam, seorang aktivis kanan Hamas di negara ini (Malaysia), untuk menyertai Ikhwanul Muslimin.

"Waseem menyertai majlis mengangkat sumpah yang dihadiri oleh Ma’an Hatib dan Radwan al-Atrash, dua pegawai kanan Hamas yang menetap di Malaysia," menurut Shin Bet.

0 Response to "MALAYSIA LATIH ANGGOTA HAMAS DI PALESTIN?"

Post a Comment