Kisah Lelaki Dari Makan Gaji, Kini Miliki Rumah Bernilai RM2.1 Juta

Kisah Lelaki Dari Makan Gaji, Kini Miliki Rumah Bernilai RM2.1 Juta

Nota ringkas editor : Artikel ini telah diekstrak dari akaun Facebook tuan Faizul Ridzuan, seorang pejuang hartanah serta penulis buku tersohor, “WTF?? 23 properties by 30″.  Buat anda yang mahu mengenali tuan Faizul, boleh ikuti beliau di Facebook.
Pagi semalam saya telah mengadakan sesi personal bersama sepasang suami isteri. Dalam tempoh perjumpaan, saya diajukan soalan yang lebih kurang begini bunyinya :
“Bagaimana saya boleh membeli rumah teres 2 tingkat tahun ni untuk dipakai sendiri sambil membeli 3-4 lagi hartanah untuk pelaburan?”
Apabila saya merujuk situasi kewangan pasangan ini, saya menyatakan dan menasihatkan mereka tidak mempunyai pendapatan dan simpanan yang cukup untuk beli rumah teres 2 tingkat, terus melabur dan beli 2-3 biji rumah dalam masa terdekat. Saya jelaskan pendapat saya melalui kisah berikut :

Saya Perkenalkan Rakan Saya – Encik K

Saya namakan beliau sebagai Encik K. Usia sekarang, 32 tahun dan merupakan rakan yang saya kenal sejak tahun 2009 lagi. Beliau mulakan pelaburan hartanah sebelum saya sendiri mula melabur. Dan ini kisah beliau :
  • Mula melabur tahun 2005.
  • Punyai beberapa hartanah kedai komersial dan membeli beberapa hartanah jenis studio.
  • Pendapatan cashflow bersih dari hartanah beliau melebihi RM14,000 sebulan sekarang.
  • Beliau baru sahaja berkahwin 2 tahun lepas dan hingga ke saat ini, beliau masih tinggal di rumah 1 bilik sahaja bersama isteri. Rumah ini telah dibeli pada harga RM290,000, yakni pada 3 tahun lepas.
  • Beliau pernah memiliki 1 kereta sahaja 2 tahun lepas. Honda Jazz ‘second-hand’ bernilai RM55,000. Sebelum itu hanya memakai wira cabuk kepunyaan bapanya.
  • Isterinya kini sedang sarat mengandung dan beliau baru sahaja membuat tawaran untuk membeli semi-D di kota Kuala Lumpur berharga RM2.1juta untuk dipakai sendiri kelak. Buat sementara waktu, mereka akan menetap di apartment 2 bilik yang baru dibeli 6 bulan lepas.

Ilmu Kehidupan Paling Mahal – Ikat Perut, Tangguhkan Kepuasan

Encik K mengamalkan apa yang mat salleh panggil sebagai delayed-gratification. Sanggup tinggal rumah kecil dahulu untuk membina harta.
tuan Faizul Ridzuan WTF

Apabila cashflow dahulu , beli rumah mahal dan sekarang beliau membiayai rumah itu dengan ‘percuma! Kenapa percuma? Cuba fikirkan :
  • Pendapat bulanan dari hartanah lain kepunyaan beliau : RM14,000 sebulan.
  • Ansuran bulan rumah semi-D abru beliau : RM11,000 sebulan.
  • Baki pendapatan : RM3,000 sebulan.
Seronoknya dapat tinggal di rumah semi-D yang mana orang lain tolong bayar.

Sebab Utama Kenapa Majoriti Masih Tidak Berharta

Kesimpulannya, setiap pilihan yang kita buat akan memberi impak yang besar pada jangka masa panjang. Ramai orang susah memiliki aset melalui pelaburan hartanah kerana :
  1. Apabila dibayar gaji mahal, terus mahu beli kereta idaman. Jumlah maksimum pinjaman bank yang boleh dapat, itulah kereta yang anak muda akan beli. Mahu terus pakai Civic, atau Golf GTI yang ansuran bulanannya sudah memakan 30% hingga 40% dari gaji bulanan.
Sejujurnya, saya belum pernah berjumpa mana-mana individu merintih :
“Menyesalnya aku tak beli kereta xxxx 3 tahun lepas”.
Yang  sebenarnya,  saya sudah lali dengan keluhan seperti:
“Menyesalnya aku tak beli rumah 3-4 tahun lepas waktu harga tidak mahal macam sekarag”.
2.  Kerana kereta adalah hanya besi buruk yang akan susut nilainya. Tidak pernah wujud kereta yang lepas 2-3 tahun anda pakai, nilainya bertambah.
3.  Apabila mahu beli rumah, terus mahu beli rumah teres mahal di lokasi yang strategik. Ansuran 30% hingga 40% dari gaji bulanan. Walhal status masih bujang atau baru kahwin, dan anak baru seorang. Anda tak perlu rumah 4 bilik untuk 3 orang.
4. Sekiranya ansuran bulan kereta & rumah sahaja sudah merangkumi 70% dari gaji bulanan, bagaimana untuk anda melabur? Ini tidak termasuk komitmen tetap setiap bulan seperti bil Astro, Ma xis, belanja makan dan seantaranya.

Apa Yang Anda Patut Belajar Dari Cerita Ini?

Kita punyai kuasa pilihan. Kita boleh pilih mahu bergaya dan nampak cool sekarang tetapi perlu kerja sampai mati untuk bayar hutang.
pilihan bijak

Atau kita boleh pilih untuk nampak sengkek sekarang, cari ilmu, turunkan ego, melabur secara bijak dan selepas 5 hingga 10 tahun anda dapat tinggal di rumah mewah secara “percuma”.
Individu seperti Mr K  sedang hidup senang-lenang sekarang, kerana mereka bijak merancang kewangan mereka dan melabur sejak 5-10 tahun lepas. Jika anda mengimpikan hal sama, anda perlu mula merancang dan melabur dari sekarang.
Pilihan perbelanjaan yang kita buat hari ini akan menentukan sama ada kita akan senang atau susah pada tahun 2020. Anda boleh pilih untuk hidup senang tahun 2020, atau mahu hidup dengan stress yang teruk untuk membayar hutang melalui pilihan perbelanjaan anda hari ini.
Mudah-mudahan anda buat pilihan yang betul. Saya doakan kita semua lebih berharta, dan berjaya.

0 Response to "Kisah Lelaki Dari Makan Gaji, Kini Miliki Rumah Bernilai RM2.1 Juta"

Post a Comment