Mat Sabu 'playsafe' isu DAP serang Hadi...


Lain macam gaya 'main selamat' Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu ketika bos beliau Datuk Seri Abdul Hadi Awang dihina habis-habisan oleh kawannya Lim Guan Eng.

Enam jam selepas Guan Eng mengeluarkan kenyataan media menyerang Abdul Hadi yang disifatkan tidak bermaruah dan tidak jujur, Mat Sabu bersuara... tapi tak cukup garang.



Melalui satu kenyataan media empat perenggan, beliau mengatakan sebarang tindakan memutus hubungan dengan Hadi memberi suatu impak yang buruk kepada PAS.



Justeru itu, penyelesaian segera hendaklah dicari diantara parti-parti dalam Pakatan khasnya DAP untuk terus memantapkan Pakatan.



"Jika penyelesaian segera tidak dapat dicapai, maka hubungan yang sedia ada semakin runcing dan saya yakin penuh sekusut mana pun hubungan, kalau ada kesungguhan untuk terus berada dalam Pakatan Rakyat, pasti akan jumpa jalan penyelesaiannya.



"Cara yang terbaik ialah, pemimpin Pakatan perlu segera bertemu dan mencari titik persamaan untuk terus bersama," katanya yang langsung tidak mempertikaikan tindakan Guan Eng menghina Hadi dalam kenyataan tersebut.



Mat Sabu juga tidak menyebut langsung nama Guan Eng dalam kenyataan medianya walaupun Setiausaha Agung DAP membuat berbagai tuduhan liar terhadap Abdul Hadi.



Umum tahu bahawa Mat Sabu mempunyai hubungan yang rapat dengan Guan Eng berbanding pemimpin PAS lain.



Sementara itu, Timbalan Presiden PKR Mohamad Azmin Ali pun 'main selamat' juga ketika ditemui pemberita di program Hijrah Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam.



Menurutnya, Hadi perlu diberi ruang dan peluang menjelaskan isu hudud yang membelakangkan dasar bersama Pakatan.



Menteri besar Selangor itu berkata, kesemua pimpinan tertinggi Pakatan perlu bersikap adil dan berbincang terlebih dahulu tanpa menghakimi sesuatu tindakan.



"Bincanglah... kekuatan Pakatan senantiasa berdasarkan perbincangan dan muafakat.



"Kita kena adil kepada Hadi dan membenarkan beliau memberikan penjelasan," katanya.



Dalam kenyataannya hari ini, Guan Eng memutuskan kerjasama dengan Hadi kerana sudah tidak percaya dan yakin terhadapnya sambil menyifatkan Hadi tidak jujur dan bermaruah.



Lim berkata, DAP akan bertemu dengan kepimpinan PKR membincangkan nasib Pakatan pada masa depan.



Pada masa sama, Azmin berkata perbincangan akan dibuat pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan dalam masa terdekat ini dan berharap Hadi hadir menjelaskan tindakannya.

0 Response to "Mat Sabu 'playsafe' isu DAP serang Hadi..."

Post a Comment